Pengalaman 16 tahun sudah cukup untuk membuktikan kredibiliti jaguh recurve negara, Khairul Anuar Mohamad, dalam memastikan panahan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina yang bermula sembilan hari lagi.

Temasya dwitahunan itu menyaksikan penampilan kelima Khairul Anuar dengan rekod membawa pulang pingat dalam setiap edisi.

Anak kelahiran Terengganu itu menyifatkan penyertaan dalam temasya berkenaan di laman sendiri pada 2017 sebagai pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila memecahkan rekod Sukan SEA dan kebangsaan setelah mencatat 682 mata bagi jarak 70 meter acara recurve individu selain 2,009 mata dalam acara berpasukan meskipun hanya meraih perak.

"Saya lebih suka meletakkan sedikit tekanan kepada sasaran yang ditetapkan.

"Saya suka meletakkan faktor berkenaan dalam Sukan SEA supaya dapat mencabar kejohanan selepas itu," katanya di Bukit Jalil.

Berbeza dengan sukan lain, prestasi pada hari pertandingan merangkumi beberapa faktor yang mungkin menjejaskan persembahannya, termasuk persediaan mental.

Bagaimanapun, selain keluarga dan rakan terdekat, pengorbanan yang dilakukan jurulatih, Lee Jae-hyung, perlu dibalas dengan peningkatan dalam setiap penglibatan kejohanan.

"Dia banyak menghabiskan masanya untuk kami. Malah, masanya lebih banyak fokus kepada kami. Adakalanya boleh dilihat dia lebih meluangkan masa bersama kami berbanding keluarganya," tambahnya.

Selain sasaran peribadinya, dia turut berharap kejutan mampu dilakar pasukan campuran recurve negara walaupun berdepan cabaran getir, terutama menerusi barisan atlet tuan rumah yang bakal menerima sokongan penyokong sendiri.

"Semua atlet dilihat mahu berikan sehabis baik dalam Sukan SEA kali ini kerana ada pemanah yang menganggap ia edisi yang terakhir bagi mereka, jadi mereka mahukan pencapaian yang lebih baik."