Bekas pemanah negara, Arif Farhan Ibrahim Putra, bersetuju dengan keputusan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) yang tidak memilih S. Suresh ke Sukan SEA Filipina bulan depan walaupun juara dunia para itu berjaya merampas ranking pertama dunia.

Pemanah negara itu melakar kejayaan di pentas antarabangsa apabila menjuarai acara recurve lelaki terbuka dalam Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 di Hertogenbosch, Belanda, Jun lalu.

Kejayaan melangkah ke final dalam kejohanan tersebut menyaksikan atlet berusia 25 tahun itu melayakkan diri ke saingan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, dia tidak akan mengikut jejak langkah atlet lontar peluru, Ziyad Zolkefli, untuk beraksi dalam Sukan SEA Filipina.

Arif Farhan, yang merupakan bekas anggota pemanah recurve negara, bersetuju dengan keputusan NAAM kerana tidak menyenaraikan Suresh dalam Sukan SEA.

"Persatuan telah membuat keputusan yang tepat bagi menghadapi Sukan SEA. Kualiti panahan Suresh masih lagi jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan empat pemanah utama negara.

"Dia memerlukan masa lagi untuk menggilap panahannya sebelum bertanding dalam saingan normal," katanya lagi.