Atlet memanah compound, Mohd Juwaidi Mazuki, mempunyai misi serampang dua mata dalam Sukan SEA Filipina bulan depan -- menamatkan penantian emas bagi acara individu selain membolot emas hatrik acara berpasukan lelaki.

Juwaidi secara peribadi belum pernah menggapai kegemilangan mengecap emas acara individu Sukan SEA biarpun sudah beraksi dalam temasya dwitahunan itu sejak 2013.

Paling diingati, dia tumpas di tanah air sendiri kepada pemanah Indonesia, Prima Wisnu Wardhana, dua tahun lalu untuk sekadar berpuas hati dengan perak di sebalik mempertahankan emas acara berpasukan lelaki dan campuran.

Justeru, Juwaidi yakin perjuangannya untuk memburu emas individu acara compound mampu ditamatkan di Filipina bulan depan.

"Saya masih lagi dalam misi yang sama selepas Kuala Lumpur 2017. Kami menyasarkan emas ketiga dalam acara berpasukan serta memburu emas acara individu," katanya.

Tiada nama Lee Kin Lip membarisi skuad memanah compound kali ini, sebaliknya pemanah dari Sarawak, Syahrizan Salleh, bakal membuat penampilan dalam Sukan SEA bersama Zulfadhli Ruslan serta M. Khambeswaran sebagai pemanah simpanan.

Tidak seperti skuad recurve yang memburu slot ke Sukan Olimpik dalam Kejohanan Asia di Bangkok bulan depan, skuad compound pula hanya hanya mahu memastikan keserasian antara pemananh menjelang Sukan SEA.

"Skuad negara kini dibarisi beberapa atlet baru dan kami masih lagi menguji mutu persembahan dalam beberapa kejohanan," ujarnya.