Pemanah negara, Juwaidi Mazuki, bermula positif dalam Sukan SEA Filipina 2019 apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya untuk melangkah ke pusingan kalah mati hari ini.

Pemanah itu, yang dilabel sebagai wira negara selepas meraih tiga pingat emas dalam Kejohanan Memanah Piala Asia di Taiwan, Ogos lalu, mempamerkan aksi tekal dengan memungut 709 mata dalam saingan hari pertama.

Atlet berusia 29 tahun itu turut memadamkan rekod kebangsaan 707 mata miliknya yang dilakar dalam Kejohanan Memanah Asia di Bangkok, Thailand bulan lalu.

"Alhamdulillah, ia memang sudah dijangka tetapi ia satu bonus apabila dapat memecahkan rekod kerana baru dua minggu lalu saya melakukannya.

"Kedudukan ranking lebih senang jika kita menduduki tempat pertama," katanya

Selain Juwaidi, Zulfadhli Ruslan turut ke pusingan berikutnya selepas menamatkan saingan peringkat awal itu di tempat kelima dengan 699 mata.

Sementara itu, Fatin Nurfatehah Mat Salleh mengatasi cabaran angin yang tidak menentu untuk meraih tempat kedua pusingan kelayakan dengan 689 mata.

Dia akan ditemani Iman Aisyah Norazam dalam pusingan kalah mati bermula esok.

"Hari ini agak mencabar sebab semua peserta memberikan yang terbaik.

"Saya melakukan yang terbaik dalam pusingan pertama tetapi terdapat perubahan angin dalam pusingan kedua.

"Saya cuba menangani masalah itu dan Alhamdulillah, dapat tempat kedua hari ini," katanya.