Memanah: Angin bakal uji atlet negara 

Oleh Staff Writer 4 Disember 2019 138
Memanah: Angin bakal uji atlet negara 
Pemanah recurve wanita negara, Nur Aliya Abd Ghapar, bakal berdepan cabaran angin kencang di Lapangan Memanah Clark, esok, tatkala masih kecewa dengan kegagalan meraih tiket awal Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Nur Aliya turun dengan misi membantu Malaysia mengekalkan kedudukan selaku gergasi memanah Asia Tenggara.

Dia juga perlu membuktikan bahawa sudah bangkit daripada kekalahan di peringkat suku akhir recurve individu wanita Kejohanan Asia di Thailand minggu lalu yang memusnahkan peluangnya untuk kelayakan awal ke Tokyo.

Cabaran untuk bangkit lebih sukar buatnya apabila terpaksa berdepan tiupan angin kencang ekoran Taufan Kammuri.

"Apa yang sudah berlalu saya jadikan pengalaman, apa yang penting fokus saya dalam Sukan SEA kali ini.  

"Keadaan sedikit mencabar tetapi saya cuba menyesuaikan diri," katanya hari ini.

Malaysia meraih lima pingat emas dalam temasya di Kuala Lumpur dua tahun lalu, iaitu dua dalam acara recurve sementara bakinya menerusi compound.

"Setiap atlet akan berasa susah, kami tidak pasti dengan keadaan angin. 

"Oleh sebab itu, kami perlu banyak berinteraksi dengan jurulatih," kata pemanah recurve, Haziq Kamaruddin.


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen