"Undian baik buat skuad negara."

Itu kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, selepas Malaysia tidak diletakkan dalam kumpulan maut tetapi mahu pemain kekal waspada menjelang Sukan SEA di Filipina bulan depan.


Norza positif mengenai undian bagi kotinjen badminton negara menjelang Sukan SEA tatkala kelebihan dilihat berpihak kepada skuad negara, terutama bagi kategori berpasukan lelaki tetapi berpendapat kem kebangsaan masih perlu berwaspada dengan saingan yang bakal disajikan pihak lawan.

Bagi kategori berpasukan wanita, Thailand menjadi ancaman utama, lebih-lebih lagi selepas atlet muda, Goh Jin Wei, terpaksa diketepikan setelah menjalani pembedahan dan tempatnya bakal digantikan pemain perseorangan meningkat naik, Eoon Xi Quan.

"Kalau dilihat kepada sukan kegemaran seperti badminton dan bola sepak, saya rasa ia undian yang baik manakala untuk sukan lain seperti sepak takraw, ia akan dilakukan pada 29 Oktober. Ini disebabkan penyertaan akan dimuktamadkan pada 18 Oktober," katanya.

Sementara itu, Norza mahu Jin Wei fokus dalam proses pemulihan meskipun terpaksa melupakan hasrat untuk bertanding buat kali pertama di pentas Olimpik Tokyo 2020.

"Kami tahu sebelum ini Jin Wei berada di landasan terbaik, namun seperti saya katakan, kami tidak mahu perjudikan kesihatannya. Saya yakin dia akan bersedia untuk Sukan Olimpik 2024," katanya.