Malaysia dijangka menghantar kontinjen terbesar ke Sukan SEA Filipina, November depan, tetapi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, enggan menetapkan sasaran pingat terlalu awal dan menanti perbincangan lanjut bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Filipina dijangka melebihi jumlah penyertaan terbesar pernah dihantar untuk temasya di luar Kuala Lumpur selepas Sukan SEA Korat, Thailand, 2007.

Ketika di Korat, kontinjen negara muncul naib juara keseluruhan dengan pungutan 68 pingat emas, 52 perak dan 96 gangsa di belakang tuan rumah.

Thailand memenangi gelaran keseluruhan dengan 183 emas,123 perak dan 103 gangsa.

Walaupun jumlah penyertaan atlet negara bagi temasya Sukan SEA kali ini lebih besar, Syed Saddiq memberi bayangan sasaran pingat negara tidak akan menjadi terlalu tinggi disebabkan kebanyakan acara dikuasai Malaysia telah digugurkan.

"Sasaran emas kena tunggu dahulu kerana kami mahu mengumumkan bersama pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Melihat kepada persediaan atlet menghadapi saingan di Manila, majoritinya sudah selesa," kata Syed Saddiq.

"Tidak lagi bertindak selaku tuan rumah, Malaysia tidak berpeluang untuk mengetengahkan acara yang mahu dipertandingkan dan buat kali pertama, Filipina turut menyertakan acara hoki dalam air bagi Sukan SEA."