Tempoh latihan selama seminggu yang melibatkan kapten luncur ais negara dalam acara 3,000 meter short track speed relay, Anja Chong, bersama rakan-rakan sepasukannya bukan halangan untuk menghadirkan kilauan pingat emas Sukan SEA Filipina buat kontinjen negara di Metro Manila hari ini.

Selepas gagal mempertahankan emas bagi acara 500m short track speed individu, atlet berusia 25 tahun itu tidak patah semangat.

Malah, kuartet negara yang turut dibarisi Kynie Chan, Ashley Chin dan Dione Tan, mencipta keserasian apabila tampil tenang dalam menyudahkan luncuran 3,000m tanpa sebarang insiden.

"Kami sebuah pasukan mantap, cuma kami perlu meningkatkan kepantasan penuh kami secara individu dan minggu lalu, kami bersama-sama memperkemaskan persembahan.

"Saya begitu bangga kerana kami beraksi dengan hebat dan mempamerkan luncuran terbaik," katanya.

Pada awalnya, Indonesia mendahului di depan, namun berlaku insiden terjatuh dan keluar daripada trek yang membuka peluang cerah untuk Malaysia mengetuai bagi jarak berbaki 1,500m.

Kejayaan mereka itu mengulangi kecemerlangan dalam edisi dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Malaysia dinobatkan juara selepas merakam 4 minit 53.235 saat, Indonesia mengutip perak dengan catatan 5:03.758s manakala gangsa milik Singapura.

"Saya sangat gembira kerana kami berjuang bersama-sama dan ia satu usaha sepasukan yang hebat."