Tugas mencabar menanti atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi, dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan ini apabila perlu berdepan wakil tuan rumah, Ernest John Obiena, yang bakal turun selaku pilihan utama meraih pingat emas.

Situasi berkenaan menimbulkan kegusaran terhadap Iskandar apabila Ernest John atau lebih dikenali sebagai EJ muncul juara Kejohanan Asia di Doha, September lalu, dan Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Itali, Julai lalu.

Tambah atlet berusia 25 tahun itu, cabarannya menjadi lebih sengit apabila tidak meraih sebarang pendedahan di peringkat antarabangsa tahun ini.

"Tahun ini agak sukar buat saya kerana berlatih sahaja sehingga pertengahan tahun selain hanya ada beberapa kejohanan yang boleh disertai.

"Untuk saya terus berlatih tanpa kejohanan, ia agak sukar memandangkan saya perlu menempuhi fasa persiapan untuk menghadapi kejohanan.

"Ia membuatkan saya agak penat," katanya di Bukit Jalil, hari ini.

Selain wakil tuan rumah, dia juga terpaksa berdepan dua lagi pencabar dari Thailand dan seorang atlet Indonesia.

Justeru, dalam temasya dwi tahunan edisi ini, Iskandar menyasarkan untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya, iaitu 5.31 meter, yang dilakarnya dalam Kejohanan Olahraga All Comers Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tahun lalu.

"Saya tahu di mana tahap saya, jadi saya menyasarkan untuk mengatasi rekod kebangsaan, seterusnya Sukan SEA.

"Buat masa ini, saya bukan fokus untuk menang, sebaliknya untuk prestasi sendiri berikutan prestasi memberangsangkan pesaing-pesaing lain."