Atlet lempar cakera negara, Choo Kang Ni, optimis dapat membantu skuad kebangsaan menambah kilauan emas dalam Sukan SEA Filipina bulan depan selepas dikecewakan wakil Thailand di laman sendiri dua tahun lalu.

Sebelum ini, Kang Ni berjaya mencipta rekod baru kebangsaan 47.91 meter, sekali gus menyaksikan kejayaannya meraih perak di Kuala Lumpur.

Berbaki kurang daripada 45 hari sebelum temasya dwitahunan itu membuka tirai, atlet berasal Johor itu lebih cenderung ke arah memperbaiki kelemahan diri sendiri berbanding mengkaji corak kemampuan lawan di Filipina nanti.

Sasaran Kang Ni kini adalah membuat lemparan lebih daripada 50m dalam misi meraih emas pertamanya dalam Sukan SEA.

"Saya cuba melakukan catatan terbaik peribadi. Jika saya dapat melakukannya, sudah tentu dapat meraih pingat di Manila nanti," katanya.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Mohamad Ali, yakin rata-rata anak buah kendaliannya di landasan terbaik.

Selain akan ke lokasi sebenar pertandingan di Filipina bagi Kejohanan Pra-Sukan SEA, skuad kebangsaan bakal menyertai dua kejohanan lain yang menjadi medan persiapan terakhir mereka, iaitu Kejohanan Perak All-Comers hujung minggu ini selain Terbuka Sabah awal November nanti.

"Segalanya berjalan seperti yang dirancangkan. Kekuatan fizikal dan kemahiran teknikal setiap atlet semakin meningkat untuk beraksi cemerlang di Manila nanti," kata Mohamad.