Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) terpaksa berdepan dengan kesukaran apabila Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) menunda tarikh kejohanan dalam Sukan SEA 2019 yang akan bermula 30 November depan.

Presiden MFF, Rusni Abu Hassan, berkata pihak penganjur telah menunda tarikh pertandingan kepada 3 hingga 8 Disember, iaitu bermula dua hari lewat berbanding tarikh asal akibat kelewatan dalam menyediakan venue pertandingan di Pusat Dagangan Dunia Metro Manila.

“Walaupun hanya dua hari lewat, ia menyukarkan kerana kami dah buat perancangan awal dan agak susah untuk mengubah jadual. Kami juga telah membuat rayuan menerusi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan memberikan beberapa cadangan kepada penganjur seperti mengurangkan hari pertandingan ke empat hari tetapi mereka berkeras dengan keputusan itu.

“Jadi, kami terpaksa akur dengan keputusan penganjur. Kami dah buat rayuan kepada syarikat penerbangan untuk mengubah tarikh penerbangan dan buat masa ini, kami mendapat maklum balas positif,” katanya dalam sidang media Team Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), di Kuala Lumpur, hari ini.

Rusni turut berharap MSN juga akan melangsaikan baki peruntukan sebanyak RM23,000 kepada MFF secepat mungkin supaya wang itu dapat digunakan untuk fasa terakhir persediaan atlet lawan pedang ke Sukan SEA.

Dia mendakwa setakat ini MSN hanya menyalurkan sebanyak RM32,000 daripada RM55,000 yang diluluskan kepada MFF untuk persediaan ke Sukan SEA manakala MFF juga berjaya mendapatkan tajaan daripada syarikat swasta.

Lebih mengejutkan, Rusni berkata bayaran Sukan SEA 2017 juga masih tertunggak sebanyak RM16,000.

Tatkala 12 pingat emas ditawarkan, Malaysia bakal diwakili oleh 22 atlet yang terdiri daripada lapan atlet bagi disiplin foil, lapan dalam sabre dan enam lagi bagi epee sambil disertai lima pegawai dan jurulatih.

Menurut Rusni, skuad foil kini menjalani latihan selama 20 hari di Jepun manakala sebahagian atlet sabre berada di China sebagai persiapan untuk Kejohanan Asia Bawah 23 Tahun di Bangkok dari 23 hingga 28 Oktober ini dalam usaha untuk meningkatkan ranking sebelum Sukan SEA.

Skuad lawan pedang negara sekadar meraih sebutir gangsa dalam Sukan SEA 2017 menerusi Joshua Koh I-Jie dalam acara epee lelaki.

-- BERNAMA