Atlet lawan pedang negara, Joshua Koh I-Jie, yakin dia mampu mengatasi pihak lawannya dari Asia Tenggara secara taktikal apabila acaranya dalam Sukan SEA Filipina bermula hari ini.

Joshua telah menjalani sesi latihan selama enam minggu di Pisa, Itali bagi menajamkan kemahiran dan meningkatkan keyakinan dirinya bagi temasya ke-30 itu.

Selepas melihat pencabarnya yang lain, atlet berusia 28 tahun itu yakin secara taktikalnya, dia mempunyai kelebihan demi merealisasikan misi mencapai sebutir pingat.

"Daripada segi taktikal. saya percaya boleh berikan kejutan dengan harapan ia akan membuahkan hasil.

"Saya percaya prestasi pada hari pertandingan yang akan menentukannya," katanya.

Tambahnya, selepas latihan di Eropah, dia boleh dikatakan 100 peratus bersedia daripada segi mental dan fizikal.

"Saya berasakan sudah bersedia dan cuma perlu mempersiapkan mental bagi hari pertandingan."

Bagi kategori wanita foil, harapan negara, Natasha Ezzra Abu Bakar, pula gagal mengawal ketangkasan atlet Vietnam, Thi Anh Do, untuk tewas 13-15 dalam suku akhir.