Penyerang Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak, mengakui kurang mendapat minit permainan bersama pasukan itu, namun ia tidak menjejaskan momentum dan persiapannya untuk menghadapi Sukan SEA Filipina, November depan.

Pemain berusia 20 tahun itu mendedahkan pasukan berkenaan akan mengadakan aksi persahabatan setiap minggu untuk memberi peluang buat barisan pemain simpanan.

Pemain itu menyertai kelab Liga J2 berkenaan selepas menjalani dua sesi pemilihan di negara itu November tahun lalu.

"Memang saya kurang bermain dalam Liga J2 tetapi masih ada kejohanan untuk pemain simpanan, jadi saya akan diturunkan setiap minggu.

"Ia satu perkara positif buat saya.

"Walaupun ia tidak kompetitif seperti liga, sekurang-kurangnya saya dapat bermain," katanya.

Tambahnya, dia tetap mahu beraksi di Jepun meskipun kontraknya akan berakhir Disember depan.

"Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan bagus di sini.

"Jika tidak, saya memang sudah balik.

"Saya selesa dan gembira berada di sini.

"Pemain semua sudah seperti keluarga saya.

"Mereka semua menerima saya dengan baik dan saya amat bersyukur untuk berada di sini," katanya lagi.