"Bukan salah formasi," tegas ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, mengenai keberkesanan formasi 3-4-1-2 selepas pasukannya tersingkir daripada Sukan SEA Filipina.

Ia gara-gara skuad kendaliannya itu tumbang 1-3 kepada Kemboja dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Memorial Rizal, Manila hari ini.

Ketika ramai mempertikaikan keberkesanan formasi yang menjadi pilihannya itu, Kim Swee menganggapnya sebagai ramuan paling berjaya sepanjang kariernya.

Dan walaupun tidak selesa dengan soalan berkenaan pendekatan itu, dia tetap mempertahankannya kerana pernah menewaskan Korea Selatan dengan sistem sama dalam Sukan Asia di Jakarta tahun lalu.

"Saya rasa ia satu isu yang sengaja ditimbulkan. Bukan (salah) formasi.

"Kami boleh bermain dengan bermacam-macam formasi tetapi jika kami tidak bermain mengikut kehendak sendiri, sudah tentu ia tidak akan berjaya," katanya.

Selepas tewas 0-1 kepada Filipina dalam perlawanan kedua Jumaat lalu, Malaysia dipalit satu lagi kekalahan memalukan di tangan Kemboja yang mengakibatkan skuad negara tersingkir awal.

"Kami tidak dapat menunjukkan kekuatan sebenar dalam perlawanan pertama dan bergelut dalam perlawanan kedua.

"Sudah pasti kami bermain dengan baik ketika menewaskan Timor Leste tetapi seperti yang anda dapat lihat hari ini, kami tidak dapat bermain seperti yang sepatutnya," tambahnya.