Pelari sensasi negara, Khairul Hafiz Jantan, menerima tamparan kerana tidak dapat mempertahankan pingat emas acara 100m Sukan SEA Filipina, November depan apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memilih Muhammad Zulfiqar Ismail untuk mengisi slot kedua.

Pemenang emas 100m lelaki edisi 2017 itu terpaksa melepaskan gelaran lelaki terpantas Asia Tenggara setelah KOM membuat keputusan berdasarkan prestasi semasa di mana Zulfiqar memiliki catatan lebih baik musim ini, iaitu 10.41 saat, berbanding 10.50s yang diraih Khairul Hafiz.

Malah, badan induk itu terpaksa menolak cadangan mengadakan sesi pemilihan khas kerana senarai muktamad perlu dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia sebelum 2 September ini.

"Kami kena fikirkan prestasi ketika ini sambil mengambil kira faktor Zulfiqar yang berjuang dan berlatih untuk mendapatkan tempat tersebut.

"Jadi, kami fikirkan dia adalah yang terbaik untuk slot kedua.

"Namun, tidak perlulah hentam atau persoal Khairul Hafiz mengapa dia tidak menyertai saingan. Malah, sepatutnya perlu berikan motivasi kepadanya," kata ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil.

Sebelum ini, seramai lima pelari merebut slot kedua 100m, termasuk Mohd Haiqal Hanafi, Nixon Kennedy dan Russel Alexander Nasir Taib.

MOM menetapkan had kelayakan sekurang-kurangnya ranking tiga terbaik Asia Tenggara dengan pelari utama, Jonathan Nyepa, di ranking ketiga sementara Zulfiqar berada di kedudukan kelima.

"Di atas kertas, memang saya ranking kelima. Cuma, dalam aksi itu masih belum tahu. Saya perlu lakukan yang terbaik. Namun, apa yang pasti saya akan cuba membawa pulang pingat," ujar Zulfiqar.

Sementara itu, KOM memilih jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei, untuk mengisi slot peluang khas dalam Kejohanan Dunia di Doha, Qatar, bulan depan.

Ia susulan prestasi baik Hup Wei musim ini apabila mencatat lompatan 2.27 meter, sekali gus bermakna atlet berusia 32 tahun itu kurang 3 sentimeter daripada had kelayakan Kejohanan Dunia.

"Saya harap Hup Wei terima perjuangan ini dan melakukan persiapan untuk menghadapi saingan lebih tinggi.

"Dia juga memberitahu sudah bersedia.

"Kami juga telah berbincang, jadi tiada persoalan dan diharapkan atlet lain berjuang untuk kejohanan sebelum dan selepas Sukan SEA," kata Timbalan Presiden KOM, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar.

Apa yang menarik, ini kali pertama Hup Wei menyertai Kejohanan Dunia walaupun dia antara atlet paling senior dalam skuad negara.