Pelari pecut lelaki negara, Khairul Hafiz Jantan, berkemungkinan terlepas tiket ke Sukan SEA Filipina 2019 susulan masih belum melepasi had kelayakan dengan catatan sekurang-kurangnya 10.37 saat.

Pemenang pingat emas acara 100 meter dalam saingan dua tahun lalu itu mempunyai peluang terakhir untuk menempah slot ke Filipina jika berjaya meraih catatan tersebut dalam kejohanan tertutup yang akan berlangsung Jumaat ini.

Ketika ini, hanya Jonathan Nyepa sudah melepasi had kelayakan dengan catatan masa 10.37s yang dilakar ketika saingan Grand Prix Asia di China, Jun lalu.

"Kedudukan Khairul Hafiz masih belum selamat. Namun, dia yang baru pulih daripada kecederaan telah menunjukkan peningkatan selepas mencatat kepantasan 10.70s di pentas Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Napoli.

"Dia berjaya perbaiki sedikit catatan dengan 10.50s dalam kejohanan keduanya tahun ini ketika Kejohanan Olahraga Terbuka Kuala Lumpur, awal bulan ini.

"Bagi atlet yang ingin melayakkan diri ke Sukan SEA 2019, mereka perlu berada sekurang-kurangnya di ranking ketiga ranking terkini Asia Tenggara. Sekiranya Khairul Hafiz berjaya atasi, maka dia akan jadi pilihan pertama," kata ketua jurulatih negara, Mashahar Abdul Jalil.

Bagi 100m wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli yang kini berada di ranking kelima Asia Tenggara bakal beraksi di bawah kategori B Sukan SEA 2019 selepas gagal melepasi catatan sekurang-kurangnya 11.43s tahun ini tatkala dia menjadi wakil tunggal acara tersebut dalam temasya dwitahunan itu.

"Atlet wanita agak jauh ketinggalan. Kami kena realistik kerana terdapat dua atlet Filipina yang sangat kuat ketika ini, tiba-tiba muncul dengan kepantasan larian masing-masing 10.41s dan 10.42s sedangkan Zaidatul hanya 10.65s yang masih lagi di ranking keenam peringkat Asia Tenggara," tambah Manshahar.

Sementara itu, skuad olahraga menyasarkan lima pingat emas dalam temasya dwitahunan itu.

Sasaran lima emas itu disandarkan kepada kepada jaguh 110m lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, atlet lompat tinggi, Nauraj Singh, Jackie Wong dan Grace Wong daripada acara baling tukul besi lelaki dan wanita serta Hakimi Ismail yang mewakili acara lompat kijang.

"Selepas kejohanan ini, kami menjangkakan jumlah sebenar atlet olahraga antara 25 hingga 30 orang yang akan mewakili negara ke Sukan SEA 2019. Segala perancangan telah mengikut masa yang ditetapkan dan atlet juga telah bersedia untuk bersaing di peringkat pemilihan terakhir minggu ini," tambah Manshahar.

Selepas berjaya melayakkan diri, Hakimi bertekad melakar lompatan sejauh 16.60 meter untuk berada di kedudukan selesa bagi mempertahankan emas di Filipina nanti.

Atlet berusia 28 tahun itu menganggap atlet Thailand sebagai halangan buatnya untuk mencipta kemenangan hatrik dalam temasya dwitahunan itu.

"Saya akan fokus untuk latihan yang lebih terancang dan kukuh bagi mempersiapkan diri ke Sukan SEA. Lebih baik saya paksa diri saya untuk mara lebih jauh," ujar Hakimi.