Jika dua tahun lalu atlet karate negara, S. Prem Kumar, berduka cita ditundukkan oleh wakil Filipina di tanah air sendiri, hari ini dendamnya terlunas apabila menewaskan atlet tuan rumah, Norman Montalivo, dalam final acara kumite B-55 kilogram Sukan SEA Filipina di Pusat Dagangan Dunia Metro Manila hari ini.

Ketika ramai menganggap pertemuan dengan Montalivo itu akan menjadi sengit, Prem Kumar sebaliknya mempamerkan penguasaan total untuk membelasah lawan itu 1-6.

Ia bermakna dia menamatkan penantian Malaysia untuk meraih pingat dalam acara itu sejak 2011.

"Saya gembira kerana dalam Sukan SEA lalu, saya kalah kepada lawan yang sama dari Filipina.

"Ini adalah sasaran saya dan apa yang telah saya kehilangan, saya mahu merampasnya semula di Filipina.

"Saya kalah di tempat sendiri tetapi saya merampasnya semula di tempat lawan.

"Jadi saya sangat gembira.

"Saya mengambil sikap positif terhadap sebarang kelakuan daripada penyokong tuan rumah, jadi ia telah menyuntik keyakinan kepada saya.

"Fizikal dan mental saya sudah cukup bersedia untuk bertemu dengannya," katanya," katanya.

Sementara itu, impian Ooi San Hong untuk menggengam emas dalam saingan kata lelaki tidak kesampaian apabila tewas tipis di tangan wakil Indonesia, Juara Ahmad Yuda.

Hanya 0.26 mata menjadi pemisah di antara Juara dan San Hong, yang enggan terlkalu kecewa memandangkan ia merupakan penampilan pertamanya dalam temasya itu.

"Memang agak sedih tetapi saya tidak kalah banyak dan jika dapat memperbaiki sedikit, saya boleh menang.

"Jadi, saya tidak terlalu sedih kerana saya tahu di mana kedudukan saya," katanya.