Atlet jujitsu, Cassandra J. Poyong, melakar sejarah muncul atlet wanita pertama negara meraih pingat perak Sukan SEA Ke-30 selepas tewas kepada wakil tuan rumah.

Cassandra tewas kepada Annie Ramirez dalam aksi final dengan keputusan 3-0.

Biarpun hanya perak, ia sangat bermakna buat atlet berusia 30 tahun itu menyumbang pingat dalam edisi pertama jujitsu dipertandingkan dalam temasya dwitahunan itu.

Dia juga berharap kejayaannya dapat membuka mata semua pihak untuk memberi kepercayaan dan sokongan kepada skuad jujitsu agar terus dipertandingkan.

"Aksi final adalah perlawanan terakhir bagi menentukan siapa bakal menjadi juara. Ini membuktikan Malaysia memiliki atlet yang mampu untuk bersaing di Asia Tenggara dan saya menyeru untuk menghantar lebih ramai atlet bertanding dalam sukan ini," kata Cassandra.

Atlet kelahiran Sabah itu turut mengakui perlu melalui pelbagai cabaran yang berliku sebelum muncul sebagai atlet jujitsu wanita pertama negara menyumbang pingat di pentas Sukan SEA.

"Ini merupakan kali pertama Malaysia menghantar atlet dalam sukan jujitsu, namun negara seperti Filipina dan Singapura lebih maju dan berpengalaman dalam sukan ini."