Adam Akasyah mencipta sejarah muncul atlet jujitsu pertama negara yang meraih pingat Sukan SEA apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan lawan dari Vietnam, Pham Tri Dung, 6-4 dalam penentuan pingat gangsa bagi kategori bawah 69kg hari ini.

"Ini kali pertama jujitsu dipertandingkan dalam Sukan SEA, saya masih agak kecewa tetapi berpuas hati dapat membawa pulang pingat gangsa.

"Saya bekerja keras untuk memenanginya," katanya selepas pertarungan di Pusat Pameran Laus, Clark, Filipina itu.

Motivasi untuk menyumbang pingat buat negara melonjakkan semangatnya untuk bangkit dengan menyimpulkan: "Saya tahu boleh menang gangsa, pihak lawan mendahului dengan satu mata dan memiliki kelebihan.

"Tetapi fikiran saya asyik terngiang-ngiang dengan kemenangan mahupun kekalahan yang mengatakan walaupun kalah, saya boleh mencubanya edisi lain kali.

"Tetapi muzik kemenangan lebih bergema dalam minda saya kerana saya tahu betapa peritnya saya untuk memenanginya.

"Jadi, saya tidak tahu apa yang berlaku, saya pejamkan mata sambil berikan aksi.

"Apabila bangkit, saya gembira dengan gangsa ini."