Di sebalik kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran 70 pingat emas, masih ada pencapaian atlet yang boleh dibanggakan dalam Sukan SEA Ke-30 di Filipina yang berakhir malam tadi.

Malah, kejayaan mereka menyumbangkan koleksi pingat tanpa mengira warna serta prestasi ‘mengejut’ yang ditampilkan wajar mendapat pengiktirafan dan diraikan.

Prestasi yang dipamerkan Raja Pecut Asia Tenggara yang baru, Muhammad Haiqal Hanafi, jaguh lompat tinggi wanita, Yap Sean Yee, pemain badminton perseorangan wanita, S. Kisona,
dan Dr Yew Weng Keng (e-sukan) antara yang mencipta sejarah tersendiri di pentas Sukan SEA.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, berkata kejayaan atlet luar jangkaan itu adalah hasil daripada usaha gigih, komitmen dan dedikasi mereka terhadap sukan yang diwakili.

“Semua mereka ini telah menonjolkan prestasi yang tidak disangkakan. Jadi, saya rasa dalam kita muhasabah diri, analisa kekurangan diri, kita jangan lupa untuk meraikan pencapaian atlet kita yang telah bersungguh-sungguh mencipta kejayaan buat kontinjen negara.

“Kita perlu juga lihat kejayaan atlet yang memenangi bukan sahaja pingat emas tapi juga pingat lain. Ini adalah kejayaan hasil daripada usaha dan dedikasi mereka sejak sekian lama,” katanya.

Sementara itu, Steven tidak menafikan pentas temasya dwitahunan itu adalah sebahagian daripada medan untuk menguji prestasi atlet muda yang pertama kali membuat penampilan di gelanggang kompetitif itu.

Menurutnya lagi, hampir 50 peratus atlet yang bertanding dalam temasya edisi ke-30 itu adalah mereka yang membuat penampilan pertama dan sebahagiannya adalah atlet berusia bawah 21 tahun.

“Kontinjen kita lebih 50 peratus adalah kali pertama. Ini merupakan kali pertama pendedahan dan peluang kepada atlet muda, bukan sahaja peluang kita mencungkil bakat baru tapi juga peluang kepada mereka untuk mengukur diri dengan pesaing di rantau ini selain menjadi satu temasya pendedahan untuk program pembangunan kita,” katanya.

-- BERNAMA