Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Catur Malaysia (MCF) sudah melunaskan pembayaran deposit 50 peratus daripada kos penyertaan atlet ke Sukan SEA Filipina, November depan biarpun masih mempunyai tempoh seminggu daripada tarikh akhir yang ditetapkan.

Sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mendedahkan sebanyak 10 persatuan sukan kebangsaan gagal melunaskan pembayaran deposit 50 peratus itu dan FAM merupakan salah satu persatuan yang dikaitkan dengan masalah berkenaan.

Bagaimanapun, setiausaha agungnya, Stuart Ramalingam, menjelaskan pembayaran berjumlah RM63,000 telah pindahkan ke dalam akaun MOM, Jumaat lalu bagi menampung kos penyertaan skuad bola sepak wanita yang akan menyertai temasya itu dalam kategori B.

"Awal bulan ini, kami terima maklumat bahawa pasukan bola sepak wanita telah dinaikkan daripada kategori D kepada kategori B.

"Dengan itu, kami telah terima invois daripada MOM untuk buat bayaran awal.

"Bayaran itu sudah dibuat dan mungkin dalam proses untuk diterima MOM sahaja.

"Tetapi daripada segi persiapan pasukan bola sepak wanita, ia tiada masalah," katanya.

Langkah serupa diambil MCF dengan menyerahkan cek bernilai RM7,000 kepada MOM untuk menampung penyertaan tiga atlet mereka.

"Sudah bayar, kami sudah keluarkan cek hari Khamis atau Jumaat lalu.

"Tiada masalah, saya rasa cek itu tidak ditunaikan secara langsung tetapi kami sebenarnya sudah bayar," kata Setiausaha Agung MCF, Najib Wahab.

Majlis MOM akan bermesyuarat Sabtu ini untuk mengumumkan persatuan yang gagal melunaskan pembayaran deposit berkenaan sebelum melengkapkan senarai akhir atlet ke temasya itu.