MALAYSIA 1 THAILAND 1
(Malaysia menang 2-0 menerusi shoot-out)

Pasukan hoki dalam dewan wanita negara akhirnya berjaya membalas dendam ke atas Thailand selepas mengalahkan juara bertahan itu 2-0 menerusi ‘shoot-out’ dalam perlawanan akhir di LB Centre Mall and Convention Centre, Luzon Selatan hari ini.


Selepas tewas di gelanggang sendiri pada 2017, pasukan itu bertekad merampas kembali pingat emas di Manila, namun kedudukan terikat 1-1 dalam waktu permainan sebenar hingga tamat.

Thailand mendahului pada minit ke-15 menerusi gol Tikhamporn Sakulpithak, namun Qasidah Najwa Muhamad Halimi menyamakan kedudukan pada minit ke-32.

Dalam‘shoot-out’, pukulan Wan Norfaiezah dan Nuraini Rashid tepat memasuki gol, namun Tikhamporn dan Anongsat Piresram masing-masing gagal melepasi penjaga gol Malaysia, Farah Ayuni Yahya.

“Selepas apa yang berlaku pada 2017, apabila Thailand dan Indonesia bermain untuk mengeluarkan kami dalam perlawanan terakhir mereka, apabila Thailand kalah 0-2 dalam perlawanan peringkat kumpulan, masih dalam ingatan kami.

“Hari ini kami menguasai permainan, dapat lima pukulan sudut penalti, tetapi dibazirkan akibat tampanan dan tolakan bola yang kurang baik.

"Tetapi kami tetap bergerak untuk mencari gol penyamaan dan berjaya menyamakan kedudukan beberapa minit sebelum masa penamat,” kata ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, ketika dihubungi.

Dalam separuh akhir semalam, Malaysia membelasah pasukan tuan rumah, Filipina, 16-0 untuk layak ke perlawanan akhir manakala Thailand mengalahkan Singapura 4-0. Singapura dan Filipina kedua-duanya menang pingat gangsa.

Ketika hoki dalam dewan dipertandingkan dalam Sukan SEA dua tahun lalu, pasukan hoki dalam dewan wanita negara terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas menduduki tempat ketiga peringkat kumpulan berikutan seri dengan Indonesia 1-1 dan menang 3-0 dengan Thailand.

Malaysia menang gangsa selepas mengalahkan Singapura 3-1.

-- BERNAMA