Ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan negara, Megat Azrafiq Termizi, berpuas hati apabila semangat dan prestasi anak buahnya tidak terjejas selepas dibentuk semula apabila membenam Singapura 5-0 dalam aksi persahabatan, hari ini.​

Skuad negara membawa tugas penting dalam Sukan SEA di Filipina hujung bulan ini apabila turun selaku juara bertahan.

Megat Azrafiq menganggap kejayaan menundukkan Singapura belum meletakkan mereka dalam zon selamat untuk mempertahankan kejuaraan, namun dia berpuas hati dengan semangat dan persefahaman yang ditonjolkan anak buahnya.

Malaysia mempunyai baki tiga perlawanan menentang Singapura dan pengendali itu optimis mampu memperbaiki kelemahan untuk memberi aksi lebih konsisten menjelang saingan di Filipina nanti.

"Keinginan untuk beraksi kerana mereka kurang pendedahan di pentas antarabangsa. Mereka membuktikannya hari ini. Persaingan sihat dalam kalangan pemain juga tampak memberangsangkan," katanya.

Skuad hoki dalam dewan negara akan berdepan lima aksi pemanas badan terakhir menentang Australia bermula 11 November ini sebelum Megat Azrafiq menyenaraikan 12 pemain terbaik yang akan dibawa ke Filipina.

"Sebab itu kami cadang untuk menentang Australia. Mereka memang ada kelebihan dalam kedudukan, jadi ia lebih mencabar. Namun, daripada situ kami boleh lihat kekurangan dan kelebihan."