Penjaga gol skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya, sedia mengerah kudrat jika diberi peluang untuk mewakili negara bergandingan dengan barisan hoki dalam dewan wanita menjelang Sukan SEA di Filipina.

Hasrat jurulatih hoki dalam dewan wanita negara, Yahya Atan, untuk memanggil barisan skuad hoki padang terpaksa dilupakan ekoran komitmen mereka berkelana di Eropah bagi mewakili kelab di sana.

Bagaimanapun, Farah beranggapan perkara itu tidak mustahil meskipun kesuntukan masa persiapan, malah berpengalaman dalam sukan itu.

Farah turut menyatakan jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, juga menerima baik jika anak buah kendaliannya diberi peluang beraksi membantu meraih pingat dalam penampilan kedua pasukan hoki dalam dewan.

"Saya berasakan tiada masalah kerana pernah beraksi dalam dewan sebelum ini, jadi kami sentiasa bersedia untuk mewakili negara di Manila nanti," katanya.

Di samping itu, pemain muda hoki negara, Siti Zulaikha Hussin, ketika ini sedang dalam sesi latihan kendalian Yahya bersama tiga pemain hoki padang yang lain.

Skuad hoki wanita dalam dewan akan berdepan Singapura A di Kuala Lumpur bulan depan bagi menguji keampuhan pasukan menjelang Sukan SEA.

"Sekarang ini, saya menjalani latihan bersama skuad kebangsaan untuk hoki dalam dewan. Untuk persiapan Sukan SEA ini, skuad negara banyak buat latihan daripada segi kecergasan.

"Saya kena cepat tangkap corak permainan yang agak berbeza daripada hoki padang. Saya dah berjaya adaptasi tunjuk ajar daripada jurulatih dan insya-Allah telah bersedia untuk ke Sukan SEA nanti," kata Siti Zulaikha.