Skuad hoki ais negara berpeluang menyamai pencapaian pingat gangsa Sukan SEA 2017 apabila mengesahkan tempat ke separuh akhir temasya Filipina.

Di sebalik krisis kecederaan di dalam skuad, Malaysia menutup saingan round robin dengan kekalahan di tangan Singapura hari ini.

Namun, kem kebangsaan diselamatkan dengan kemenangan 5-4 sewaktu menentang Indonesia semalam, sekali gus mengesahkan slot separuh akhir.

Dalam aksi semalam, Malaysia yang mendahului 1-0, menjarakkan kedudukan 3-1 sebeum suku ketiga tetapi kelekaan jelas membawa padah tatkala Indonesia menyamakan kedudukan 4-4 sehingga mengundang risiko bakal tersingkir awal.

Bagaimanapun, jaringan kemenangan Malaysia hadir lima minit sebelum tamat permainan menerusi tonggak, Bryan Lim, yang melakukan empat jaringan peribadi secara keseluruhan.

Malaysia bakal berdepan pemenang di antara Thailand dan Filipina dalam aksi separuh akhir esok.