Haziq tersenarai ke Filipina

Oleh Staff Writer 16 Ogos 2019 767
Haziq tersenarai ke Filipina
Pemanah recurve negara, Haziq Kamaruddin, melepasi fasa getir kemerosotan prestasi untuk terpilih mewakili negara ke Sukan SEA Filipina, November depan meskipun tercicir beberapa saingan penting, termasuk Kejohanan Dunia di Belanda, Jun lalu.

Atlet kelahiran Johor itu bangkit daripada masalah prestasi untuk meraih pingat perak acara recurve berpasukan lelaki dalam siri kedua Piala Asia di Taiwan minggu lalu.

Dia turut layak ke suku akhir acara individu sebelum tewas di tangan pemanah Korea Selatan, Kim Hyeonjong.

Ia pencapaian terbaik Haziq sepanjang tahun ini, sekali gus meyakinkan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) untuk menyenaraikan Olimpian negara itu ke Filipina.

"Di situ (Taiwan) saya dapat biasakan diri balik, saya boleh kawal keadaan dan menyesuaikan diri dengan perancangan.

"Daripada itu saya dapat mengejar kembali (prestasi)," katanya.

Turut tersenarai ke temasya itu ialah Khairul Anuar Mohamad, Akmal Nor Hasrin dan Mohd Zariff Shahir Zolkepeli.

Malaysia akan menyertai Kejohanan Ujian Sukan SEA Filipina di venue sebenar bermula 8 September depan.

"Sebelum mendapatkan kejayaan, adalah lebih baik untuk kami mempersiapkan diri dulu dengan menguatkan ketahanan diri dan mental.

"Daripada itu, barulah kami boleh mencapai apa yang kami mahukan.

"Dalam Sukan SEA, memang kita tahu, saingan itu akan datang daripada Thailand dan Vietnam, jadi kami perlu bersedialah dengan apa-apa kemungkinan," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen