Skuad gimnastik artistik negara berpeluang menambah kilauan pingat apabila tuan rumah Sukan SEA, Filipina, memutuskan untuk menambah acara all around individu dalam temasya hujung bulan ini.

Perkara itu diputuskan 6 November lalu dengan dua wakil negara, Farah Ann Abdul Hadi dan Tan Ing Yueh, dipilih menghadapi cabaran tersebut berdasarkan prestasi semasa.

Rata-rata daripada anak buah bimbingan Nataliya Sinkova itu menunjukkan penambahbaikan meskipun ada antara mereka seperti Tracie Ang yang mengalami kecederaan paha sehingga kini.

Skuad negara bakal menghadapi ujian penilaian fizikal bersama juri Sukan SEA yang akan ke Filipina, yang dibarisi Nurul Fatiha Abdul Hamid dan Sukhdev Kaur, Jumaat ini.

"Bagus kerana sudah lama kami tidak meraih gelaran itu. Farah Ann mengakhiri saingan 2015 di tempat kedua tetapi Nurul Fatiha merupakan atlet terakhir yang memenanginya sekitar lima hingga tujuh tahun lalu. Jadi, bagus untuk kami memilikinya," kata Sinkova.

Sementara ada itu, gimnas berusia 25 tahun, Farah Ann, mahu memanfaatkan peluang selepas diberi kepercayaan mewakili acara all around.

"Saya sangat gembira kerana ada acara all around. Sejak Kejohanan Dunia, saya telah mempersiapkan diri bagi menghadapi empat acara dan memang bercadang untuk mengharunginya. Diharapkan saya dapat meraih pingat dalam acara itu," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan bola tampar pantai negara, Hean Boon Yeow, hanya menyasarkan dua gangsa daripada pasukan lelaki dan wanita yang baru dibentuk untuk dipertaruhkan dalam saingan di Filipina.

Kali terakhir acara bola tampar pantai ditawarkan dalam Sukan SEA adalah di Palembang, lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, kejayaan skuad negara meraih dua emas dan satu gangsa dalam Kejohanan Bola Tampar Pantai Siri Nasional di Singapura kelmarin akan menjadi penyuntik semangat buat mereka.

"Minggu lalu ketika di Singapura, skuad lelaki dan wanita bergelar juara sementara pasukan kedua menduduki tangga ketiga," ujar Boon Yeow.

"Indonesia merupakan pasukan yang meraih perak dan gangsa sambil Thailand bergelar juara bertahan dalam lima atau enam edisi Sukan SEA sebelum ini."