Skuad gimnastik artistik negara cemerlang menambah dua pingat emas Sukan SEA Filipina apabila Tracie Ang dan Farah Ann Abdul Hadi mengungguli acara masing-masing di Coliseum Memorial Rizal, Manila hari ini.

Dengan memperoleh 12.867 mata dalam acara batang titian, Tracie menewaskan peserta Indonesia, Rifda Irfanaluthfi (12.133 mata), di tempat kedua dan gimnas Vietnam, Do Thi Van Anh (10.367), ketiga.

Sorang lagi gimnas negara, Tan Ing Yueh, menamatkan saingan di tempat keempat dengan 10.200 mata.

"Saya melakukan yang terbaik dan amat gembira kerana dapat melakukan segala yang terdaya.

"Ia aksi yang hampir sempurna buat saya.

"Saya menurunkan tahap kesukaran tetapi saya dapat melakukannya dengan penuh yakin," katanya.

Sementara itu, Farah Ann menepati ramalan apabila menambah satu lagi pingat emas dalam acara senaman lantai.

Lenggok kemasnya membolehkan atlet kelahiran Selangor itu mengumpulkan 12.600 mata untuk menduduki tempat pertama.

Rifda kedua dengan 12.333 mata manakala wakil Vietnam, Tran Doan Quynh Nam (12.033), ketiga.

Dengan kejayaan terbaru itu, skuad gimnastik negara telah menghimpunkan lima pingat emas, satu perak dan tiga gangsa.