Selepas tampil dengan aksi memberangsangkan dalam Kejohanan Terbuka Singapura, atlet gimnastik negara, Tan Fu Jie, kini lebih optimis mengulangi pencapaian dalam meraih pingat emas Sukan SEA, Filipina, dua bulan lagi.

Sebelum ini, Fu Jie merupakan antara atlet yang berjaya menamatkan kemarau emas selepas 12 tahun dalam temasya Sukan SEA dua tahun lalu apabila menghadirkan satu kilauan emas dan satu perak ketika beraksi di laman sendiri.

Atlet kelahiran Selangor itu tampil aksi cemerlang dalam Kejohanan Terbuka Singapura, Jun lalu setelah mengungguli emas dalam acara utamanya, kekuda berpelana.

Misi meraih emas untuk Malaysia di Filipina nanti tampak lebih meyakinkan apabila rakan senegara, Jeremiah Loo, yang dianggapnya bakal memberi saingan sengit, November nanti.

"Saya fokus kepada mempertajamkan teknik dalam acara utama saya. Untuk kejohanan sebelum ini di Singapura dan China, saya rasa telah beraksi dengan baik. Jadi, saya fikir segalanya baik untuk Sukan SEA," kata Fu Jie.

Meskipun hadir selepas sembuh daripada demam, dia turut menghadiahkan emas dalam acara kegemarannya, kekuda berpelana, dalam Kejohanan Gimnastik Artistik Kebangsaan 2019, semalam.

"Kami masih perlu betulkan banyak perkara. Ini hanya ujian kecil untuk melihat tahap kami. Saya rasa kami perlukan persediaan lebih banyak tetapi dalam masa sama, ia pengalaman yang berharga."