Skuad floorball lelaki negara tidak gentar dengan Filipina meskipun lawan memiliki kelebihan sokongan padu penyokong tempatan serta diperkuatkan beberapa pemain naturalisasi menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan Sukan SEA hari ini.

Malaysia memperoleh talian hayat untuk memburu sekurang-kurangnya pingat gangsa setelah menamatkan badi dua kekalahan sebelum ini apabila membenam cabaran Indonesia 8-2 kelmarin.

Biarpun aksi petang ini dianggap ibarat penentuan gangsa menentang Filipina memandangkan Indonesia tampak sudah terkeluar daripada persaingan, Malaysia tetap waspada dengan ancaman tuan rumah yang dibarisi pemain naturalisasi dari Sweden seperti Christofer Holland dan Dahmien Henrik.

"Sebagai satu pasukan, kami tahu apa perlu dilakukan. Kami telah berlatih dan mempersiapkan diri. Kami juga pernah menentang mereka Julai lalu, jadi saya fikir perlawanan ini akan menjadi menarik. Peluang ada untuk kami menang," kata ketua jurulatih negara, Khor Kuan Yong.

Menguatkan lagi semangat, skuad kebangsaan berhasrat untuk membalas dendam setelah tewas tipis 5-4 dengan lawan sama ketika saingan Piala Asia/Oceania di Binnan, Julai lalu.

"Kami sangat gembira untuk beraksi di depan penyokong tuan rumah. Kami tewas di tangan mereka ketika aksi berbaki beberapa saat dalam pertemuan sebelum ini. Kami yakin kemenangan mampu dicipta," kata pemain negara, Zephaniah Chong.