Rayuan atlet sukan elektronik negara (e-sukan), Abdul Rahim Abdul Shukor, untuk mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Filipina bagi kategori Tekken 7 diluluskan dalam misi menambah sasaran meraih kilauan pingat bulan depan.

Perkara itu disahkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, selepas mendapat persetujuan bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Atas persetujuan itu, Norza optimis ia dapat meningkatkan keyakinan skuad e-sukan di Filipina nanti.

Beliau turut menjelaskan jumlah atlet yang akan ke Filipina ialah seramai 788 orang selepas penambahan dan pengurangan dilakukan.

Dalam masa sama, Norza menyifatkan Sukan SEA 2019 bakal menjadi salah satu medan persiapan pasukan e-sukan negara bagi menghadapi Sukan Asia yang akan berlangsung di Hangzhou, China, tiga tahun lagi.

"Sukan SEA meletakkannya sebagai prospek pingat dan kerajaan memberikan fokus serta peruntukan. Ini satu momentum yang baik untuk dibawa ke Sukan Asia akan datang," katanya.

"Daripada segi jumlah kontinjen keseluruhan, ia adalah 1,065 yang dibarisi pegawai sama tetapi melalui perubahan dalam bilangan atlet, penambahan daripada e-sukan dan tenis serta kekurangan daripada wakil angkat berat."