Perseorangan muda negara, Lim Chong King, tidak menyangka peluang untuk mewakili Malaysia di pentas Sukan SEA akan hadir seawal ini setelah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merealisasikan impiannya beraksi di Filipina November depan buat julung kalinya.

BAM mengambil langkah bijak dengan mengetengahkan bakat muda yang dimiliki badan induk itu, dengan tumpuan dalam acara perseorangan apabila menyenaraikan Chong King dan rakan sepasukannya, Aidil Sholeh Ali Sadikin yang hanya berusia 19 tahun.

Ia sekali gus mengetepikan beberapa pilihan pemain senior seperti Cheam June Wei, Tan Jia Wei mahupun juara kebangsaan dua kali, Lim Chi Wing.

Chong King, yang baru meraih kejuaraan pertamanya di peringkat antarabangsa dalam Terbuka Hellas, Greece awal bulan ini mengidam untuk cuba membantu Malaysia mendapatkan keputusan terbaik dalam Sukan SEA Filipina nanti.

"Saya memang terkejut kerana dipilih beraksi dalam Sukan SEA. Mewakili negara dalam Sukan SEA sesuatu yang sangat membanggakan," katanya.

Selain Chong King dan Aidil, BAM turut menyenaraikan sandaran utama, Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven, untuk skuad perseorangan lelaki.

Chong King dan Aidil mempunyai harapan untuk diturunkan dalam acara berpasukan lelaki, namun keputusan untuk beraksi dalam acara individu diserahkan kepada pihak pengurusan memandangkan satu negara hanya dibenarkan menyenaraikan dua pemain sahaja.

"Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk terpilih tetapi ini merupakan peluang untuk saya meraih pengalaman beraksi dalam kejohanan yang lebih besar," ujarnya.