Atlet catur negara, Yeoh Li Tian, menghadiahkan pingat emas dalam penampilan pertamanya selepas menyingkirkan juara dunia dari Vietnam, Nguyen Ngoc Truong Son, dalam acara rapid chess di Manila hari ini.

Dia mengakui berdepan laluan sukar sebelum melakar sejarah sebagai penyumbang pingat emas pertama negara sejak acara itu dipertandingkan.

Atlet berusia 20 tahun itu berasakan kejayaan tersebut amat bermakna memandangkan dia hanya turun dengan status master antarabangsa.

"Saya tidak sangka boleh dapat emas kerana pada mulanya, saya hanya menyasarkan pingat perak atau gangsa.

"Saya tahu saya berpeluang tetapi tidak sangka akan dapat emas dalam penampilan pertama.

"Ia amat sukar kerana peserta Vietnam menang banyak kali, jadi saya juga perlu menang banyak kali," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Persediaan Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, berasakan kejayaan skuad catur itu sebagai satu bonus untuk menambah jumlah pingat emas kontinjen negara.

"Sebenarnya, dia mempunyai keupayaan untuk meraih pingat dalam temasya terdahulu tetapi ada sahaja halangan.

"Lawannya (dalam final) adalah juara dunia, jadi ia adalah petanda baik untuk sukan catur," katanya.

"Dia telah melangkaui jangkaan kerana pemenang pingat perak dan gangsa bertaraf grand master.

"Dia pula hanya bertaraf master antarabangsa, jadi ia menunjukkan potensinya memang boleh pergi jauh," tambah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, pula.