Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, menolak faktor nasib menjadi pencetus kejayaan skuad silat negara mencapai sasaran dua pingat emas dalam Sukan SEA Filipina hari ini.

Selepas Taqiyuddin Hamid dan Sazlan Yuga mengungguli acara ganda putera Isnin lalu, peluang skuad negara untuk mencapai sasaran itu tampak samar selepas taruhan utama dalam acara tanding putera B, Faizul Nasir, tumbang awal.

Bagaimanapun, Zulfazly Zulfakar muncul penyelamat skuad negara apabila beraksi cemerlang memenangi penentuan pingat emas kategori tanding putera D dengan kelebihan 3-2 ke atas peserta Indonesia, Hanifan Kusumah.

"Saya mengharapkan tiga (pingat emas) dan Zulfazly memang ada dalam senarai.

"Kerana saya tahu dalam dirinya ada sesuatu seperti yang kita dapat lihat pada hari ini.

"Pada 10 saat terakhir, dia tidak mengaku kalah dan terus menyerang.

"Mata yang didapatkannya itu amat luar biasa.

"Ia satu guntingan yang luar biasa," katanya.