Diletakkan harapan tinggi sebagai pembawa Jalur Gemilang ke Sukan SEA Ke-30, Muhammad Rafiq Ismail, masih belum melihat kilauan pingat emas selepas dua hari pertandingan boling tenpin berlangsung.

Selepas mengakhiri acara perseorangan di tempat ke-18 semalam, hari ini dia meraih pingat gangsa dalam acara beregu bersama Tun Hakim Tun Hasnul Azam selepas melakukan 2,556 jatuhan pin di Coronado Lanes Starmall Edsa.

Pingat emas menjadi milik gandingan Indonesia, Muhammad Islam Billy-Ramachmadian Hardy, yang melakukan 2,592 jatuhan pin manakala pasangan Thailand, Atchariya Cheng-Surasak Manuwong, membawa pulang pingat perak dengan catatan 2,564 jatuhan pin.

Turun selaku naib juara ketika meraih perak acara itu di samping Adrian Ang Hsien Loong, Rafiq dan Tun Hakim bermula lemah sebelum memperbaiki rentak untuk mengejar pendahulu tetapi kembali bergelut dengan keadaan lorong.

"Walaupun saya hanya meraih gangsa selepas menyasarkan emas, saya tetap gembira dengan prestasi ini dan bersyukur dengan pingat ini. Prestasi hari ini lebih baik berbanding semalam.

"Bagi saya, lorong agak susah dan lambat nak menyesuaikan diri. Kami hadapi kesukaran untuk mengekalkan ‘strike’, lorong kanan boleh dapat strike, kiri tidak boleh, jadi hilang banyak mata di situ.

"Sebagai atlet, saya tak fikir sangat pun bahawa saya selaku pembawa bendera mesti kena menang emas. Saya ikut sahaja dengan memberi persembahan terbaik. Saya masih ada beberapa acara lagi, saya yakin boleh (meraih emas), hanya perlu sabar dan tawakal," katanya kepada pemberita.

Dia seterusnya akan bertanding dalam acara beregu campuran esok, diikuti acara berpasukan pada Jumaat ini dan sekiranya berjaya berada dalam kelompok 16 teratas, dia akan layak ke Masters lelaki, Sabtu ini.

-- BERNAMA