Peluang ratu boling tenpin, Shalin Zulkifli, memecah rekod atlet Malaysia yang paling banyak meraih pingat emas dalam sejarah Sukan SEA makin cerah apabila didaftarkan beraksi dalam lima acara di Filipina.

Shalin perlu memburu tiga lagi emas untuk mengatasi rekod bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah.

Atlet dari Kuala Lumpur itu telah mengumpul 20 emas sejak membuat penampilan sulung dalam temasya edisi 1993.

Pencapaian itu kurang dua emas berbanding rekod dipegang Nurul Huda, namun ia mampu diatasi.

Pemain berusia 41 tahun itu akan beraksi dalam lima acara di Filipina, termasuk jika layak beraksi dalam saingan Masters.

Ini bermakna Shalin perlu menjuarai tiga daripada lima acara disertai.

"Masih terlalu awal untuk saya berasa yakin bagi memecahkan rekod pungutan emas individu terbanyak dalam Sukan SEA. Matlamat utama saya adalah untuk meraih emas buat kontinjen negara dengan sebanyak mungkin. Mengatasi rekod Nurul Huda adalah satu bonus bagi saya," kata Shalin.

Selepas meraih tiga emas dalam temasya di Kuala Lumpur dua tahun lalu, Shalin bakal bergandingan dengan Esther Cheah, Sin Li Jane dan Siti Safiyah Amirah Abd Rahman.

Sementara itu, skuad boling tenpin dan 15 lagi sukan lain menerima suntikan semangat menjelang Sukan SEA Filipina dan Sukan Para ASEAN 2019.

Ini hasil imbuhan di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan sepanjang 2019 yang berjumlah hampir RM1.7 juta.

Wusyu menerima habuan paling banyak menerusi imbuhan berjumlah RM440,000 bagi kejayaan memenangi dua emas, lima perak dan satu gangsa dalam Kejohanan Dunia Wusyu di Shanghai, China, bulan lalu.

"Kami cuba melakukan yang terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai.

"Prestasi yang dipamerkan serta pengalaman yang diraih adalah lebih bernilai berbanding wang hadiah yang disumbangkan oleh SHAKAM," kata jurulatih negara, Lim Yew Fai.