Skuad boling padang negara menamatkan kempen Sukan SEA Ke-30 di Filipina dengan kejayaan gemilang selepas meraih empat pingat emas dan dua gangsa dalam acara berkenaan yang melabuhkan tirai di CDC Lot of Friendship Gate, hari ini.

Dalam aksi terakhir acara berkenaan, Malaysia menambah satu pingat emas dan satu gangsa, masing-masing menerusi acara fours lelaki dan triples wanita.

Emas tunggal negara disumbangkan menerusi gandingan Muhammad Idham Amin, Daeng Dhadyry Dahasry, Zulhilmie Redzuan dan Fairul Izwan Abd Muin yang mencatat kemenangan selesa 24-6 ke atas Brunei selepas 13 ends.

Trio wanita negara yang dibarisi Auni Fathiah Kamis, Zuraini Khalid dan Azlina Arshad pula menyumbang pingat gangsa setelah menewaskan Brunei 17-15 dalam aksi melibatkan 17 ends manakala pingat emas diraih Singapura yang mengatasi Filipina dengan 16-13 dalam aksi final.

Sebagai rekod, Malaysia sebelum ini meraih tiga emas dalam acara triples lelaki, pairs wanita dan fours wanita selain satu gangsa dalam acara pairs lelaki.

-- BERNAMA