Hanya berbaki tiga bulan menuju Sukan SEA Filipina, skuad boling padang wanita negara menerima kejutan apabila Nur Fidrah Noh digugurkan daripada pasukan ke temasya dwitahunan itu.

pengguguran Nur Fidrah dibuat oleh Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) selepas berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Mesyuarat telah diadakan oleh pihak pengurusan bagi membincangkan situasi Nur Fidrah. Institut Sukan Negara (ISN) mengesahkan dia kini hamil enam minggu dan jika dia ke Filipina, ketika itu kandungannya berusia tujuh bulan.

"Kami telah mengesahkan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bahawa senarai perlu dihantar pada 15 Ogos lalu," kata Setiausaha Agung PLBM, Syed Zainal Abidin Syed Zain.

Bagaimanapun, ketua jurulatih boling padang negara, Zuraidi Puteh, yakin pengganti Fidrah, iaitu Afiqah Dayana Budiman, mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan untuk membarisi acara berpasukan wanita.

"Sesiapa sahaja yang akan dinamakan dalam skuad Sukan SEA tidak akan mendatangkan masalah kerana tahap mereka di Asia Tenggara semua sama, tidak kira siapa yang digandingkan atau digantikan," katanya.

Boling padang merupakan antara penyumbang pingat emas terbanyak ketika Sukan SEA 2017, namun kem kebangsaan awal-awal lagi kehilangan dua emas susulan acara perseorangan lelaki dan wanita tidak dipertandingkan di Filipina.

PLBM enggan meletak sasaran tinggi dengan sekadar mampu menyumbang tiga emas daripada enam acara yang dipertandingkan dalam temasya di Filipina, November depan.