Ketua jurulatih skuad boling padang negara, Zuraidi Puteh, kesal dengan keputusan Persatuan Boling Padang Filipina (PLBA) yang membatalkan pelan latihan skuad Malaysia di sana pada saat-saat akhir.

Selepas melewati pelbagai urusan untuk merealisasikan hasrat bagi menguji venue di Bandar Raya Clark Global City sebelum bermulanya temasya dwitahunan itu, ia bertukar hampa.

PLBA membuat keputusan drastik dengan membatalkan hasrat skuad negara itu sebulan sebelum berlepas ke Mabalacat memandangkan Malaysia tidak mempunyai gelanggang padang rumput selain faktor cuaca.

"Kami sedikit kecewa sebab kami pada awalnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa di sana.

"Malah, bukan mudah untuk mendapat kelulusan daripada mereka.

"Banyak pihak yang terlibat dalam persediaan untuk menghadapi Sukan SEA ini," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

Untuk mendapatkan suasana hampir sama dengan penggunaan padang rumput, Zuraidi memilih Thailand sebagai destinasi akhir persediaan 18 pemain negara dalam pemburuan lima pingat emas.

"Kami perlu memilih tarikh yang sesuai kerana mereka sedang merancang untuk menganjurkan beberapa kejohanan sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan SEA.

"Dalam masa yang sama, kami memohon untuk menyertai kejohanan itu.

"Sebab itulah, beberapa perkara terpaksa ditunda untuk membolehkan kami menyertainya," katanya.