Pemain boling tenpin negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, mengakui format perlawanan dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan ini memberikannya tekanan walaupun ia akan menjadi penampilan kelimanya dalam temasya dwitahunan itu.

Hanya berbaki 18 hari ke Sukan SEA, Siti Safiyah mula terasa tertekan dengan perbezaan bilangan ahli pasukan bagi temasya kali ini -- hanya empat berbanding enam dalam edisi sebelum ini.

Siti Safiyah berkata perbezaan itu akan memberi tekanan pada hari perlawanan.

"Di Manila, terdapat pengurangan acara berbanding edisi dua tahun lalu dan kami harus menampilkan persembahan terbaik pada permulaan saingan lagi," katanya mengenai gandingannya dengan Esther Cheah, Sin Li Jane dan Shalin Zulkifli di Manila.

Dalam Kejohanan Boling Tenpin Asia Ke-25 di Kuwait bulan lalu, Malaysia muncul juara keseluruhan selepas memenangi enam emas, satu perak dan empat gangsa manakala Korea Selatan sebagai naib juara.