"Saya boleh main tiga posisi."

Pemain muda sensasi negara, Wan Kuzain Wan Kamal, berkongsi keterujaannya menyertai kem latihan skuad B-22 kebangsaan buat julung kali menjelang Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Meskipun baru tiba di tanah air, dia tidak membuang masa apabila terus menyertai sesi latihan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu hari ini.

Menjadi pemain terakhir melaporkan diri bersama skuad muda negara, kelibat pemain berdarah Malaysia itu sememangnya mencuri tumpuan memandangkan pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu berdepan dengan masalah pasport untuk mewakili negara ke Filipina.

"Saya rasa ramai peminat bola sepak di Malaysia mahu melihat aksi saya. Saya boleh katakan bahawa saya mampu beraksi selaku pemain tengah bertahan, tengah dan tengah menyerang. Ia melibatkan penguasaan bola serta mencipta peluang," katanya.

"Ia memberi makna besar. Apabila anda mewakili pasukan negara, ia bukan sahaja melibatkan diri sendiri tetapi merangkumi keluarga. Diharapkan saya boleh melakukannya."