Bola sepak: Vietnam ke separuh akhir, Garuda Muda baham Brunei

Oleh Staff Writer 3 Disember 2019 11278
Bola sepak: Vietnam ke separuh akhir, Garuda Muda baham Brunei
Vietnam meneruskan rekod kemenangan bersih dalam empat perlawanan walaupun terpaksa menunggu jaringan minit akhir untuk menewaskan Singapura 1-0 dalam aksi bola sepak lelaki Sukan SEA Filipina di Stadium Memorial Rizal, sebentar tadi.

Setelah Nguyen Hoang Duc menyumbat gol dalam waktu kecederaan sewaktu menewaskan Indonesia 2-1 dalam aksi sebelum ini, kali ini giliran Ha Duc Chinch menanduk masuk jaringan kemenangan pada minit ke-85 bagi membolehkan skuad kendalian Park Hang-seo itu mencipta kemenangan tipis.

Aksi berhati-hati ditampilkan Vietnam dan Singapura bimbingan Fandi Ahmad tetapi anak buah Hang-seo itu lebih menguasai perlawanan walaupun gagal menghasilkan sebarang gol sehingga permainan menuju penamat.

Jaringan kemenangan hadir hasil sepakan sudut Doan Van Hau -- yang terlepas beberapa peluang sebelum itu -- untuk Duc Chinh menanduk bola masuk melepasi Zharfan Rohaizad.

Kemenangan itu memberikan mata ke-12 daripada empat perlawanan buat The Golden Dragons tatkala mereka mengungguli Kumpulan B sambil Singapura tersingkir susulan kekalahan ketiga.

Sementara itu, dalam aksi berasingan, Indonesia membelasah Brunei Darussalam 8-0 di Stadium Bolasepak Binan untuk merakamkan kemenangan ketiga dalam kejohanan serta memintas Thailand di tempat kedua.

Osvaldo Haay membuka tirai jaringan buat skuad Garuda Muda itu pada minit ke-10 sebelum pemain Lechia Gdansk, Egy Maulana Vikri, menggandakan kelebihan buat anak buah Indra Sjafri itu pada minit ke-39.

Penyerang Persebaya Surabaya, Osvaldo, menghasilkan gol ketiga peribadi dalam kejohanan sebelum rehat untuk memberikan pendahuluan 3-0 buat Indonesia. Babak kedua menyaksikan Indonesia terus mengganas dengan lima lagi jaringan.

Bangkit daripada kekalahan 2-1 di tangan Vietnam, Indonesia kini berkongsi mata dengan Thailand tetapi menduduki tangga kedua menerusi kelebihan jaringan tatkala saingan berbaki satu perlawanan.

Indonesia akan berdepan Laos manakala Thailand dan Vietnam bakal melakukan perhitungan dalam aksi terakhir Khamis ini.

Indonesia hanya perlu menewaskan The Laotians untuk memastikan tiket ke separuh akhir.

Sumber: Foxsportsasia

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen