Pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai senarai pemain yang bakal dibawa ke Sukan SEA Filipina, November depan tetapi positif bahawa anak buahnya mampu menyumbang pingat.

Begitupun, pengendali itu belum bersedia untuk mendedahkan senarai pemain yang akan memikul tanggungjawab sehingga pertengahan bulan depan.

Tambahnya, senarai 40 nama telah dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), namun masih belum memuktamadkan barisan pemain yang akan dipanggil ke kem latihan pusat.

Format baru temasya edisi ke-30 itu menyaksikan setiap negara boleh mempunyai dua pemain lebih usia.

Justeru, dalam 40 senarai pemain yang dihantar, jurulatih berusia 49 tahun tersebut menyenaraikan lapan pemain senior dengan misi untuk memantapkan jentera pertahanan pasukan.

"Pasukan ini mempunyai peluang untuk meraih pingat tetapi saya tidak boleh menjanjikan apakah warnanya.

"Sudah tentu seperti saya, setiap rakyat Malaysia inginkan pingat emas tetapi kami perlu buat persediaan yang baik sebelum kami memikirkan lebih jauh lagi.

"Tetapi untuk dapatkan pingat, kami berpotensi," katanya dalam satu majlis di ibu negara, hari ini.

Sementara itu, penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, yang menjadi perhatian ketika ini, enggan mengambil mudah perebutan slot terbaik sempena kempen kelayakan Kejohanan AFC B-19, bulan depan selepas pengendalinya, Brad Maloney, menyenaraikan sembilan muka baru.

"Prestasi mereka (rakan-rakan lain) juga bagus, jadi saya tidak boleh pandang rendah.

"Saya anggap diri sendiri sama seperti mereka."