Penyerang skuad B-22 negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, masih belum puas walaupun menyumbang dua jaringan dalam perlawanan Kumpulan A, Sukan SEA Filipina, malam tadi ekoran kegagalannya memanfaatkan lebih banyak peluang terhidang.

Jika berdasarkan peluang yang ada, skuad negara sepatutnya mencetak jaringan yang lebih besar dalam kemenangan 4-0 ke atas Timor Leste itu.

Namun, beberapa peluang yang gagal diterjemahkan mengundang rasa tidak puas hati Hadi Fayyadh yang merupakan individu paling dekat untuk menyempurnakan jaringan di depan mata.

Walaupun ada rasa terkilan, namun keputusan 4-0 itu masih mampu diberikan pujian selain menerbitkan kelegaan menerusi dua jaringan peribadi yang dihasilkannya.

"Kami bermain dengan sangat bagus dalam separuh masa pertama, kami mengekalkan penguasaan bola.

"Cuma dalam separuh masa kedua, kami terburu-buru untuk ke depan dan terlalu ghairah untuk menjaringkan gol sehingga kerap kehilangan bola," katanya.

Dalam masa yang sama, pertahanan negara juga tidak kurang hebatnya apabila rancak diuji dalam pertembungan ketiga itu.

Bagaimanapun, pertahanan kebangsaan, Dominic Tan, tidak menyalahkan formasi 3-4-3 yang diterapkan pengendali, Datuk Ong Kim Swee, sebaliknya berazam mahu memperkemaskan lagi perisai negara menjelang aksi dengan Kemboja esok.

"Kami pernah menggunakan formasi ini dalam banyak kejohanan seperti kelayakan Kejohanan AFC B-23 dan Sukan Asia.

"Sudah tentu kami tidak mahu mengungkitnya.

"Kami memerlukan gol sehingga meninggalkan ruang di bahagian benteng.

"Ia satu keputusan yang baik buat kami untuk kembali bersaing."