Pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin, mengakui dia melewati kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan skuad B-22 negara walaupun sudah melalui fasa latihan lebih seminggu bersama pengendali, Datuk Ong Kim Swee, sejak pulang dari Kemboja.

Luqman tidak berselindung dengan kesukaran yang dihadapinya ketika ini.

Walaupun kelibatnya menjadi perhatian umum, hakikatnya dia bertarung di antara kehendak dan kemampuan untuk sebaris dengan pemain senior dalam skuad yang bakal menghadapi saingan Sukan SEA itu.

Bagi pemain berusia 17 tahun itu, dia masih memerlukan sedikit masa untuk membuktikan kemampuan sebenar walaupun hakikatnya senarai akhir 20 pemain yang terpilih ke Filipina bakal diumum dalam masa terdekat.

"Apabila datang, saya sedikit bergelut. Mungkin lama-kelamaan saya dapat sesuaikan diri dan tahu tentang satu sama lain. Ia membolehkan saya meraih pengalaman daripada pemain senior. Ia sukar tetapi akan dicapai," katanya.

Daripada segi pendekatan corak permainan yang diterapkan, percaturan Kim Swee dan Brad Maloney tidak banyak berbeza.

Namun, dikelilingi pemain bukan kebiasaan membuatkan Luqman terpaksa bekerja keras dalam setiap latihan untuk mencari keserasian, sekali gus memancing perhatian Kim Swee.

"Corak permainan sama sahaja. Kami perlu faham antara satu sama lain."