Bola sepak: Kemboja musnah hasrat Malaysia ke separuh akhir

Oleh Staff Writer 4 Disember 2019 2767
Bola sepak: Kemboja musnah hasrat Malaysia ke separuh akhir
Persembahan memukau dalam babak kedua membolehkan Kemboja menewaskan Malaysia 3-1 untuk menempah tiket separuh akhir bola sepak Sukan SEA Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila sebentar tadi.

Tatkala Filipina dijangka mudah menundukkan Timor Leste dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Kemboja dan Malaysia perlu menang bagi memastikan tempat dalam separuh akhir.

Dan segalanya tampak seperti hari penuh drama dalam Kumpulan A.

Malaysia dan Kemboja seolah-olah menghampiri penyingkiran selepas kedua-dua pasukan gagal menghasilkan jaringan sambil Filipina menghampiri kemenangan mudah ke atas Timor Leste.

Namun, tatkala Kemboja mendahului 3-0, harapan The Azkals menyala setelah menyumbat enam gol untuk mencerahkan peluang layak ke separuh akhir menerusi perbezaan jaringan tetapi akhirnya, Kemboja yang meneruskan kemaraan.

Di Stadium Memorial Rizal, kedua-dua pasukan melepaskan peluang awal apabila Seut Baraing gagal menggunakan kesempatan hasil bola yang gagal didakap kemas Haziq Nadzli pada minit ke-12 sambil Luqman Hakim Shamsuddin dan Danial Haqim Draman sekadar tumpul di depan gawang lawan.

Skuad Kouprey Kampuchea kendalian Felix Dalmas itu meraih peluang keemasan selepas setengah jam permainan apabila pertahanan Malaysia, Irfan Zakaria, terperangkap bola tendangan gol Keo Soksela, sekali gus membuka ruang buat Orn Chanpoli di belakangnya.

Kapten Kemboja itu hanya perlu melepasi Haziq untuk memberikan pasukannya pendahuluan tetapi gagal menemui sasaran.

Pengadil menamatkan separuh masa pertama tanpa sebarang jaringan dan kedua-dua pasukan itu perlu menyambung perlawanan dengan aksi lebih bertenaga memandangkan The Azkals mendahului Timor Leste 2-0 sebelum rehat.

Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee itu mempamerkan keinginan tinggi untuk menyumbat gol sambil Luqman Hakim hanya memerlukan tiga minit untuk menewaskan Soksela tetapi lambungannya melewati palang sambil pemain muda sensasi Kemboja, Sieng Chanthe, hampir meledakkan jaringan.

Namun Malaysia dibiarkan terpaku apabila Kemboja menyumbat dua gol pantas untuk mengubah kedudukan dalam usaha memastikan tiket separuh akhir.

Pada minit ke-56, Haziq menumbuk keluar bola sepakan sudut ke tengah padang sebelum In Sodavid melepaskan rembatan untuk meletakkan Kemboja di depan 1-0.

Terkejut dengan gol pembukaan itu, Malaysia terus dihidangkan duka oleh anak buah Dalmas itu yang menggandakan kelebihan beberapa minit kemudian.

Chanthea diberi ruang untuk melakukan larian di sebelah kiri dan pemain berusia 17 tahun itu masuk ke dalam kotak penalti, melepasi Dominic Tan sebelum meledakkan gol dari jarak dekat bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Kemenangan tampak sudah berada dalam genggaman The Angkor Warriors setelah Keo Sokpheng meledakkan gol ketiga pada minit ke-68 tetapi Quentin Cheng merapatkan jurang buat Malaysia dan The Azkals menyumbat enam gol ke atas Timor Leste untuk menghangatkan lagi perlumbaan ke separuh akhir.

Bagaimanapun, memandangkan Timor Leste menghasilkan jaringan dalam waktu kecederaan dan Kemboja menang 3-1, The Angkor Warriors akhirnya menyertai Myanmar untuk layak ke separuh akhir daripada Kumpulan A.

Sumber: Foxsportsasia
Kredit foto: Team Malaysia

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen