Bola sepak: Harith Haiqal sedia "langgar" pemain senior

Oleh Staff Writer 11 November 2019 5075
Bola sepak: Harith Haiqal sedia
Pemain skuad B-19 negara, Harith Haiqal Adam Afkar, sedia "langgar" pemain lebih senior bagi memastikan slot dalam skuad Sukan SEA Filipina hujung bulan ini. 

Sebelum ini, ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, hanya akan mula menilai lima pemain skuad B-19 negara yang dipanggil untuk kem latihan menjelang temasya edisi ke-30 itu melalui perlawanan menentang Thailand dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 yang berakhir di Kemboja, semalam. 

Selepas mengalahkan skuad Gajah Perang itu, keyakinan pemain skuad B-19 itu meningkat dalam usaha mengesahkan slot dalam skuad Sukan SEA walaupun mempunyai perbezaan umur yang ketara dengan pemain senior.

"Saya berasakan mampu menyaingi barisan pemain B-23 menerusi kemahiran tetapi daripada segi kekuatan fizikal, masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki," katanya di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang, hari ini. 

"Saya tetap menghormati mereka sebagai pemain senior, tetapi dalam latihan nanti, kami tetap akan langgar sahaja."

Pengendali skuad B-19, Brad Maloney, pula optimis kelima-lima pemain yang dipanggil ke kem latihan Sukan SEA mampu bersaing dengan pemain senior.

Skuad akhir yang terdiri daripada 20 pemain itu akan berlepas ke Manila pada 23 November ini bagi menghadapi saingan Kumpulan A yang dibarisi tuan rumah, Filipina, dua hari kemudian di samping Myanmar, Kemboja dan Timor Leste.

"Lima pemain skuad B-19 telah tersenarai untuk berlatih bersama skuad B-23 untuk menghadapi Sukan SEA. Ia tidak bermakna mereka akan membarisi skuad kendalian Ong Kim Swee itu tetapi ia adalah peluang buat mereka membuktikan sama ada mampu berdiri setaraf dengan pemain-pemain yang lebih berpengalaman," kata Maloney. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen