Skuad bola sepak negara dituntut untuk mencetak tiga mata menjelang aksi dengan tuan rumah, Filipina, esok walaupun difahamkan ada beberapa kecederaan kecil yang melanda pemain negara bagi aksi kedua Kumpulan A, Sukan SEA itu.

Selepas sekadar seri 1-1 dalam perlawanan pembukaan dengan Myanmar, Isnin lalu, ia bukan halangan buat skuad negara untuk mencaturkan barisan pemain yang akan beraksi di Stadium Memorial Rizal, Manila itu.

Tumpuan kini terarah kepada Akhyar Rashid, yang gagal menyerlah dalam perlawanan bertemu Myanmar, dan pemain kelahiran Kedah itu tidak menafikan tuntutan peningkatan prestasi daripadanya.

"Pemain berasa kepenatan, saya berharap dapat berbuat sesuatu untuk pasukan dan meraih kepercayaan jurulatih," katanya dalam sesi latihan pagi tadi.

Sementara itu, pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, tidak gusar dengan masalah kecederaan anak buahnya sambil menganggap bahawa mereka sudah bersedia untuk diturunkan.

"Ada beberapa pemain yang cedera.

“Bukan Adam Nor Azlin sahaja tetapi ketika ini mereka dalam keadaan yang cukup baik.

"Mereka berlatih dengan baik dan saya harap mereka dapat mengharungi perlawanan esok tanpa kesakitan," kata jurulatih itu.