Jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, mengakui membuat keputusan sukar apabila terpaksa mengetepikan khidmat Safawi Rasid dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan ini tatkala Adam Nor Azlin dipilih untuk mengisi kuota pemain senior dalam temasya berkenaan.

Pengendali dari Melaka itu menegaskan keputusannya untuk tidak membawa tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan ke Filipina adalah demi kebaikan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia 2019 itu berikutan jadual padat yang diharunginya musim ini.

"Demi kebaikan semua (pihak), saya terpaksa memutuskan untuk merehatkan Safawi kerana kami perlu memberinya rehat berikutan misi (skuad negara) yang amat penting pada tahun depan.

"Saya harap semua pihak dapat memahami tindakan saya ini kerana ia bukan demi kepentingan saya sendiri, sebaliknya untuk kelab dan negara," katanya di padang Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), petang tadi.

Sesi latihan skuad B-22 negara hari ini turut disertai tujuh pemain skuad Harimau Malaya, antaranya Akhyar Rashid, Danial Amier Norhisham dan Dominic Tan.

Adam menjadi pilihan untuk mengisi kuota pemain lebih umur selepas Kim Swee menyenaraikan Irfan Zakaria untuk menyertai misi dalam temasya edisi ke-30 itu.

"Saya tidak mahu menjanjikan apa-apa.

"Kalau kami berikan komitmen penuh dan pemain-pemain mempunyai satu matlamat yang sama, tidak mustahil kami dapat capai misi dalam Sukan SEA," kata pertahanan itu.