Raut kecewa jelas terpampang di wajah pemain skuad bola keranjang wanita negara selepas tewas tipis kepada pasukan tuan rumah dalam Sukan SEA Filipina di Mall of Asia Arena, Pasay hari ini.

Kekalahan 75-81 dalam perlawanan itu menyaksikan impian mereka untuk mempertahankan pingat emas yang diraih dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu musnah serta-merta.

"Pasukan saya menggunakan enam pemain muda, jadi apabila kami menggunakan mereka untuk menggantikan pemain senior, mereka agak panik dan melakukan kesilapan," kata ketua jurulatih, Yoong Sze Yuin, yang tidak menafikan ketiadaan beberapa pemain senior menjejaskan kempen mereka.

"Sukan SEA bukan mudah dan anda memerlukan pengalaman.

"Jadi, saya harap pasukan sokongan saya akan menggunakan pentas ini untuk bersedia menghadapi edisi depan," tambahnya.

Malaysia masih berpeluang meraih gangsa seandainya menewaskan Indonesia dalam perlawanan terakhir esok.